fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Jenazah tiba di HRPB pukul 6 petang tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA van jenazah yang membawa mangsa terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung di Pangkalan TLDM Lumut dekat sini tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 6 petang tadi.

IPOH – Jenazah 10 orang mangsa tragedi dua buah helikopter bertembung di Pangkalan TLDM Lumut dekat sini pagi ini sampai di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.

Terdapat 10 van jenazah dengan setiap satu membawa seorang jenazah yang terkorban dalam nahas itu memasuki bangunan tersebut.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, seramai tujuh kru berada dalam Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) manakala tiga lagi dalam helikopter Fennec TLDM.

Tujuh mangsa yang berada di dalam helikopter HOM-AW139 iaitu Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy (penumpang).

Selain itu, mangsa yang terkorban ialah Bintara Muda Noor Rahiza Anuar (penumpang) dan Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna (penumpang).

Sementara itu, tiga lagi yang terkorban berada di dalam helikopter Fennec (M502-6) ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada pukul 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara pada pukul 9.45 pagi.

Helikopter HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala helikopter Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Sementara itu, para pengamal media tidak dibenarkan memasuki pekarangan Jabatan Forensik HRPB sejak pukul 2 petang, yang hanya terhad kepada waris dan anggota keselamatan.

Kata anggota keselamatan, segala maklumat berkenaan pengurusan mayat tersebut akan disalurkan oleh pegawai perhubungan awam.

Pekarangan Jabatan Forensik dipenuhi dengan waris serta pegawai TLDM dan anggota polis yang mengawal keselamatan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI