BUENOS AIRES – Seorang lelaki Argentina menjadi sensasi internet selepas dia ‘mengurung’ dirinya di dalam sebuah bilik pameran kenderaan serta enggan berundur tanpa trak yang dibelinya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Abelardo Usandivaras, menjadi tajuk-tajuk utama berita antarabangsa selama lebih dua minggu dan dianggap menjadi simbol perjuangan orang biasa menentang amalan buruk penjual kenderaan.
Lelaki pertengahan umur dari Metan, bandar Salta itu tiba di Buenos Aires bersama keluarganya pada awal bulan ini dan terus pergi ke kedai tersebut yang sepatutnya menghantar trak baharunya.
Dia dilaporkan telah membuat pembayaran pendahuluan bagi membeli kenderaan itu.
Selepas gagal mendapatkan jawapan yang diperlukan serta gagal menghubungi pihak yang sepatutnya, Usandivaras mengurung dirinya di dalam kedai itu.
Dia enggan meninggalkan trak yang dijanjikan atau sekurang-kurangnya mendapatkan semula bayaran pendahuluan yang telah dibuatnya.
Selepas berjam-jam berbincang dengan polis tempatan menjadi perantara, protes luar biasa Usandivaras menjadi tular dan topik hangat di seluruh Amerika Latin.
“Berikan saya trak itu dan saya akan membuat pembayaran penuh secara tunai. Mereka melayan saya seperti orang kampung yang tiada pengetahuan,” katanya. – AGENSI