PETALING JAYA – Ultra Clean Holdings Inc. (UCT), pembangun, penyedia subsistem, komponen dan perkhidmatan berkaitan analitikal serta pembersihan ketulenan ultra tinggi, telah melabur sebanyak RM250 juta untuk membangunkan kemudahan terbaharunya di Pulau Pinang.
Projek pembangunan kilang tersebut adalah untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, menawarkan kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan dan juga penjagaan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif UCT, Jim Scholhamer berkata, inisiatif strategik itu akan membolehkan syarikat memainkan peranannya dalam mengaktifkan lagi pasaran semikonduktor global dan dalam masa mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri tersebut.
“Kami bangga dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membolehkan kami mengembangkan operasi perniagaan sebagai salah satu usaha pengembangan untuk pertumbuhan masa depan,” katanya semalam.
Pembinaan fasiliti tersebut terbahagi dalam beberapa fasa yang telah dimulakan pada September 2020 dan ia melibatkan kawasan seluas 27.87 meter persegi manakala fasa kedua pula bermula pada awal tahun 2022 dengan tambahan kawasan seluas 23.225 meter persegi.
“Dengan pemilikan kawasan tambahan seluas 3.6 hektar pada pertengahan tahun lalu, pelan pembangunan untuk fasa tiga sedang rancak dibangunkan sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti kilang,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE