GUA MUSANG – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat kes keracunan makanan melibatkan 75 pelajar selepas mereka menikmati nasi bungkus di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu dekat sini, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, beliau tidak akan berkompromi terhadap isu kesihatan yang membabitkan pelajar.
Katanya, isu keracunan makanan melibatkan pelajar yang berlaku semalam di negeri ini berada dalam pemerhatian dan tindakan lanjut pihak kementerian.
“Isu keracunan ini dalam tindakan dan saya tidak fikir kita akan berkompromi dalam soal yang berkait rapat dengan anak-anak kita.
“Jadi, tindakan sudah kita ambil dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KKM untuk menyiasat kejadian ini. Keutamaan kita adalah tentang kesihatan anak-anak murid kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bahan
Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) Bawah Program Literasi Untuk Murid Orang Asli Dan Pribumi (LPOAPC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, kira-kira 20 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu menerima rawatan selepas disyaki keracunan makanan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kes keracunan melibatkan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun selepas mereka dipercayai menikmati nasi bungkus bersama kuah gulai dan ayam goreng. – KOSMO! ONLINE