KUALA LUMPUR – Laporan interim berhubung siasatan nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terlibat dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi tadi akan dikeluarkan segera sementara menunggu laporan penuh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebuah Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Soal laporan itu (nahas helikopter) kita akan tengok laporan interim kita akan cuba buat seberapa segera dan kemudian akan ada laporan penuh,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan tiga kru Fennec TLDM maut melibatkan pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat dalam nahas terbabit.
Menurut Mohamed Khaled, dua helikopter telibat adalah HOM-AW139 TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM yang berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi tadi.
Katanya, raptai terbabit merupakan latihan kali ketiga sebelum acara sebenar yang dijadualkan berlangsung pada 27 April ini.
“Mangsa terlibat ada yang dari Pangkalan TLDM Lumut dan ada dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan acara sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 bakal dipertimbangkan sama ada ia diteruskan atau sebaliknya.
“Itu saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” katanya.
Mohamed Khaled dan seluruh kementeriannya menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat.
“Kita akan sediakan kapal terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bawa mereka (keluarga mangsa) yang dari Sabah ke Lumut.
“Apa sahaja bencana jika berlaku kita memang ada sediakan sumbangan dan bantuan. Ketika ini paling penting adalah tenangkan ahli keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE