PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini di bandar Rafah, selatan Gaza yang berlaku kelmarin hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin termasuk 18 kanak-kanak.
Wisma Putra berkata, situasi di Rafah adalah amat membimbangkan dengan mengambil kira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi.
“Sebarang serangan di Rafah mengakibatkan implikasi dahsyat kepada lebih dari 1.5 juta rakyat Palestin berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 kilometer (km) persegi.
“Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Wisma Putra berkata, Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu.
“Mereka kini tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung. Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya.
“Pada bulan lalu, Israel telah diberi amaran oleh negara-negara sekutunya untuk mengelakkan dari menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan,” jelasnya.
Katanya, serangan itu ternyata membuktikan kedegilan Israel.
Jelasnya, masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel, mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera.
Ia termasuk mengiktiraf dan menegakkan kenegaraan Palestin dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad. – KOSMO! ONLINE