fbpx

Beratus pokok bakau mati di Pantai Cermin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haris menunjukkan pokok bakau yang mati dipercayai akibat tumpahan minyak yang berlaku dua bulan lalu di Pantai Cermin, Port Dickson ketika ditemui di sini hari ini.

PORT DICKSON – Beratus pokok dan anak pokok bakau mati dan rosak di Pantai Cermin dekat sini dipercayai akibat kejadian tumpahan minyak yang berlaku di pantai itu kira-kira dua bulan lalu.

Wakil Persatuan Pencinta Alam (Malaysia Nature Society) Negeri Sembilan dan Melaka, yang hanya mahu dikenali sebagai Haris berkata, tinjauannya sejak semalam ke pantai berkenan mendapati beratus pokok bakau rosak akibat minyak yang melekat pada pokok berkenaan.

“Saya datang ke sini sejak semalam selepas sekian lama saya dapat berita yang kebanyakan pokok sudah mati. Jadi saya datang tengok sendiri dan hendak pantau keadaan, memang jelas nampak banyak pokok sudah mati, asalnya nampak peluang untuk hidup tetapi mungkin selepas sekian lama kebanyakan pokok ni akhirnya mati.

“Ada juga pokok yang kelihatan tidak akan bertahan lama dan daun sudah mulai gugur. Jadi, kita nampak akibat tumpahan minyak ini bukan perkara jangka masa pendek, impaknya pada jangka masa panjang, ada kemungkinan semua pokok ini akan mati,” katanya ketika ditemui di Pantai Cermin, dekat sini hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Pantai Cermin di Batu 10 dekat sini ditutup selama dua minggu kepada orang awam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan di sepanjang tiga kilometer pantai itu ekoran tumpahan minyak yang berlaku.

Sementara itu, menurut Haris, usia pokok bakau berkenaan yang rosak juga dianggarkan hampir 40 tahun dan jika pulih ia mengambil masa yang agak lama.

“Kalau nak pulih semula ia akan ambil masa yang lama, lebih-lebih lagi tanah ini sudah tercemar dengan minyak. Kami harapkan semua pihak dapat mewujudkan kesedaran kepada orang awam termasuk orang industri,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk penanaman semula dan membuat tapak semaian pokok bakau.

“Kami akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan selain mengharapkan orang awam lebih prihatin terhadap alam sekitar. Jika dilihat sekarang, tiada lagi hidupan laut seperti ketam dan udang kerana kawasan ini telah dicemari,” katanya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI