SEREMBAN – Seorang remaja lelaki yang merupakan mangsa serta saksi ke-11 kes amang seksual fizikal melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan di Mahkamah Seksyen, di sini hari ini.
Remaja berusia 18 tahun terbabit memberi keterangan hampir dua jam di hadapan Hakim, Datin Surita Budin pada prosiding yang dijalankan secara tertutup bermula pukul 2.30 petang. Prosiding kali pertama membabitkan remaja berkenaan dilakukan pada Disember tahun lalu.
Azman atau lebih dikenali sebagai Cik Man tiba di mahkamah ditemani barisan peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah kira-kira pukul 1.50 petang.
Selebriti itu kelihatan tenang seperti biasa dan turut mengucapkan selamat hari raya serta maaf zahir batin kepada media.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hadi Hakimi Harun, Zahida Zakaria, Nurul Balqis Zunaidi dan Goh Hsiao Tung.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding dijalankan, dia yang berbaju Melayu berwarna coklat sempat berseloroh sambutan Aidilfitrinya meriah seperti biasa, tetapi tidak diserikan dengan ‘kerepek bawang’.
“Saya sambut raya di Perak bersama saudara mara di sana dan sekarang baharu balik ke rumah keluarga di Rantau, Seremban,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya pemberita tidakannya menutup ruang komen di laman Instagramnya, Cik Man memberitahu yang dia sengaja buat demikian.
“Saya saja tutup komen di IG kerana lebih selesa. Sebelum ini pun saya pernah tutup juga dan dah buka balik. Ia bukan kerana tekanan,” katanya.