fbpx

Campak wang rasuah dalam kereta peronda polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Dua lelaki warga Indonesia diberkas sepasukan anggota polis pagi semalam kerana cuba merasuah mereka dengan mencampakkan wang sebanyak RM170 ke dalam kereta peronda polis di kilometer (KM) 15 arah Rawang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi semasa anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sedang melakukan rondaan.

“Sepasukan polis dari Cawangan MPV IPD Gombak ternampak sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki dua lelaki di KM 14 dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri motosikal tersebut.

“Tiba-tiba motosikal itu memecut laju menuju ke arah Rawang, namun polis berjaya menghentikan motosikal tersebut di KM 15 arah Rawang.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, secara tiba-tiba kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota polis bertugas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Arifai berkata, anggota polis terlibat memberi amaran kepada warga asing terbabit supaya menyimpan wang berkenaan, tetapi mereka berdegil dan mencampakkan wang tersebut ke dalam kereta peronda polis.

Justeru, katanya, pihak polis bertindak menahan dua lelaki warga asing tersebut atas kesalahan cuba memberi rasuah dan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Menurut beliau, kedua-dua warga Indonesia terbabit disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1957/63.

“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 50 tahun ditahan reman selama 14 hari bermula semalam sehingga 25 Disember ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI