KUANTAN – Kira-kira RM5 juta jumlah denda dan kompaun telah dikenakan kepada majikan pelbagai sektor di seluruh negara yang gagal mematuhi undang-undang buruh ditetapkan pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kamal Pardi berkata, denda dan kompaun itu direkodkan dalam 444 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara pada tahun lalu melibatkan 1,701 kertas siasatan.
“Hasil daripada itu sebanyak 421 kertas siasatan telah dikenakan tindakan pendakwaan dan denda berjumlah RM504,836 manakala sejumlah 848 kertas siasatan pula dikenakan tindakan kompaun dengan nilai tawaran kompaun RM4.536 juta.
“Operasi Bersepadu seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan dan khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada para majikan,” katanya dalam Operasi Bersepadu JTKSM, di sini hari ini.
Menurutnya operasi sama diteruskan pada tahun ini yang menyaksikan sejak Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 240 operasi dilaksanakan dengan melibatkan 240 majikan seluruh negara.
Beliau memberitahu operasi yang dilaksanakan pada tahun ini telah merekodkan sebanyak 370 kertas siasatan.
“Sehingga kini sebanyak 77 kertas siasatan dikenakan pendakwaan dengan nilai denda RM1,000 manakala sebanyak 35 kertas siasatan telah dikenakan kompaun dengan tawaran kompaun bernilai RM425,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE