STOCKHOLM – Perbelanjaan ketenteraan global mencapai rekod tertinggi pada 2023, mencecah AS$2.44 trilion (RM11.67 trilion) berikutan peningkatan terbesar dalam perbelanjaan keselamatan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia dalam tempoh lebih satu dekad, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), peningkatan 6.8 peratus bagi perbelanjaan global antara 2022 hingga 2023 merupakan lonjakan tertinggi sejak 2009.
Ia merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan SIPRI dalam tempoh 60 tahun.
Penyelidik kanan Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Penghasilan Senjata SIPRI, Nan Tian memberi amaran mengenai peningkatan risiko konflik yang tidak diingini ketika banyak negara berlumba-lumba untuk meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing.
“Peningkatan perbelanjaan ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini adalah tindak balas langsung terhadap kemerosotan dalam keamanan dan keselamatan global.
“Negara-negara di seluruh dunia memberi keutamaan kepada kekuatan ketenteraan, namun merisikokan gelombang tindakan-tindak balas dalam landskap geopolitik dan keselamatan semasa yang tidak menentu,” katanya.
Negara yang merekodkan perbelanjaan pertahanan terbesar ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan masing-masing merangkumi 37 peratus serta 12 peratus daripada peruntukan ketenteraan global.
Dari segi peningkatan, Washington dan Beijing masing-masing mencatatkan pertambahan 2.3 peratus dan enam peratus dalam bajet ketenteraannya pada tahun lalu.
Bagi AS, sebanyak 9.4 peratus daripada peruntukan AS$916 bilion (RM4.3 trilion) pada 2023 digunakan untuk kajian, pembangunan, ujian serta penilaian ketika Washington berusaha kekal menjadi peneraju bagi pembangunan teknologi ketenteraan.
Sementara itu, seteru utamanya, China memperuntukkan kira-kira AS$296 bilion (RM1.4 trilion) bagi perbelanjaan ketenteraan pada tahun lalu.
Beijing meningkatkan bajet pertahanannya secara konsisten sepanjang 29 tahun lalu meskipun tempoh pertumbuhan tertingginya adalah pada tahun 1990-an dan antara 2003 hingga 2014.
Selain itu, Russia, India, Arab Saudi dan Britain berada di kedudukan seterusnya dalam senarai SIPRI.
Bajet yang diperuntukkan oleh Kremlin pada 2023 selepas lebih setahun berperang dengan Ukraine adalah 24 peratus lebih tinggi berbanding 2022 iaitu AS$109 bilion (RM521 bilion).
Di tengah-tengah ketegangan dengan China dan Pakistan pula, peruntukan perbelanjaan India meningkat 4.2 peratus berbanding 2022, yang menggambarkan kenaikan dalam anggota serta kos operasi.
Dalam pada itu, perbelanjaan ketenteraan di Asia Barat meningkat sebanyak sembilan peratus kepada kira-kira AS$200 bilion (RM956 bilion).
Ia menjadikan Asia Barat rantau yang memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan tertinggi dari sudut peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia iaitu 4.2 peratus.
Ini diikuti Eropah (2.8 peratus), Afrika (1.9 peratus), Asia dan Oceania (1.7 peratus) serta Amerika (1.2 peratus).
Selain itu, perbelanjaan ketenteraan Israel adalah kedua tertinggi di Asia Barat di belakang Arab Saudi dan mendahului Turkiye.
Ia meningkat sebanyak 24 peratus mencecah AS$27.5 bilion (RM131.5 bilion), sebahagian besarnya didorong oleh serangan ke atas Gaza. – AGENSI