JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia hari ini menurunkan tahap amaran gunung berapi terpencil yang meletus lebih 12 kali pada minggu lalu, manakala lapangan terbang antarabangsa terdekat dibuka semula selepas ditutup selama beberapa hari.
Pegawai sebelum ini memberi amaran ancaman aktiviti Gunung Ruang masih belum berakhir selepas ia mencetuskan pemindahan beribu-ribu orang.
Ia pada minggu lalu mengeluarkan campuran lahar, abu dan kilat yang luar biasa.
Namun, aktiviti gunung berapi tersebut sejak itu semakin tenang di bahagian kawah.
Justeru, agensi gunung berapi Indonesia menurunkan tahap berjaga-jaga kepada kedua tertinggi bagi sistem empat peringkat pada hari ini.
“Berdasarkan hasil pemantauan visual dan peralatan yang menunjukkan penurunan aktiviti gunung berapi di Gunung Ruang, tahap status telah diturunkan daripada Tahap IV kepada Tahap III,” kata Ketua Agensi Volkanologi, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan akhbar.
Agensi itu turut mengecilkan zon pengecualian daripada enam kilometer kepada empat kilometer.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar ibu kota wilayah Sulawesi Utara, Manado, turut dibuka semula pada petang ini, kata pihak berkuasa.
Ia terletak lebih 100 kilometer dari kawah gunung berapi tersebut. – AFP