KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan yang terjatuh dari bot dinaikinya semasa memukat sotong di sekitar kawasan Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini semalam ditemui dalam keadaan selamat selepas 16 jam terapung di dalam air.
Muhamad Nursyarif Mat Nasir, 28, dijumpai oleh nelayan pukat tunda kira-kira pukul 10.30 pagi tadi yang melihat mangsa berada dalam keadaan terkapai-kapai di dalam air ekoran kepenatan berenang dalam tempoh masa yang lama.
Menurut Muhamad Nursyarif, dia terjatuh ke dalam laut kira-kira pukul 6.30 petang semasa sedang menarik pukat yang dipenuhi dengan hasil tangkapan sotong.
Katanya, dia cuba untuk naik semula ke atas bot, namun gagal sebelum dihanyutkan air laut.
“Saya berenang dan terapung di dalam air tanpa sebarang peralatan. Saya ada melambai tangan untuk meminta bantuan bot nelayan yang sedang menangkap ikan, namun mereka tidak nampak saya di dalam air.
“Selepas kepenatan hampir 16 jam berenang, sebuah bot tunda nelayan yang keluar menangkap ikan akhirnya datang menyelamatkan saya.
“Sepanjang tempoh di laut, saya banyak tertelan air laut dan disengat ubur-ubur. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih selamat dan diberikan kesempatan lagi untuk hidup. Saya ketika ini amat letih,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang pengawal keselamatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya semasa memukat sotong di sekitar kawasan Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini.
Muhamad Nursyarif disedari hilang selepas seorang penduduk tempatan melihat bot yang dinaikinya tersadai di tepi pantai tersebut kira-kira pukul 6.50 petang. – KOSMO! ONLINE