fbpx

Pekebun didenda RM12,000 buat hantaran mengancam Agong, PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samsuri (baju biru) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini. Foto Shidiqqin Zon/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Akibat memuat naik hantaran bersifat mengancam dalam Facebook membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu, seorang pekebun didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Samsuri Ramli, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku salah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, OKS yang merupakan bapa empat anak itu boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Samsuri didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam dalam bentuk gambar visual dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil “SamBanjar Perak” pukul 5.33 petang pada 13 Ogos 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Samsuri yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ada tanggungan ibu, isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

“Saya sebagai anak peneroka bekerja di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Pendapatan tidak tetap, ada kerja ada gaji,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, berkata tindakan yang dilakukan tertuduh itu tidak wajar dan tidak melambangkan kesetiaan kepada raja.

“Mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat selain tidak mengambil ringan terhadap penggunaan media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI