GUA MUSANG – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengambil tindakan terhadap pentadbir sekolah susulan kejadian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan meninggal dunia semasa menyertai acara merentas desa pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, siasatan mendapati, acara itu dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada.
“Acara larian merentas desa ada garis panduan dan tidak timbul soal tindakan perlu diambil terhadap pentadbir sekolah.
“Program merentas desa yang dilaksanakan itu merupakan anjuran pihak sekolah dan pelajar berkenaan rebah kemudian meninggal dunia ketika menyertai acara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Difahamkan, pelajar itu menghidap penyakit jantung sejak 2016. – KOSMO! ONLINE