JOHOR BAHRU – Dua anggota polis yang sebelum ini ditahan reman kerana melakukan peras ugut terhadap seorang lelaki warga tempatan yang bekerja di Singapura akan dibenarkan kembali bekerja.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka akan kembali bertugas sehingga Perintah Tahan Kerja dikeluarkan terhadap mereka.
“Tempoh tahanan reman terhadap kedua-dua anggota itu tamat hari ini dan tidak disambung lagi.
“Kedua-duanya akan kembali bertugas sehingga ada arahan Perintah Tahan Kerja atas mereka. Buat waktu ini, mereka masih berkhidmat dibawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Semalam dilaporkan bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Johor telah menghantar surat cadangan Perintah Tahan Kerja terhadap dua anggota itu sehingga siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Sabtu lalu, kedua-dua anggota yang sebelum ini bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini telah ditahan reman selama tiga hari.
Tahanan reman itu bagi membantu siasatan dakwaan kedua-dua anggota yang berusia 33 dan 34 tahun itu telah melakukan peras ugut sebanyak RM1,000 terhadap seorang mangsa lelaki berusia 50 tahun, pada 4 Januari lalu.-KOSMO! ONLINE