KEMAMAN – Seorang pengajar jururawat Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama suaminya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan mereka berusia 14 tahun sehingga menyebabkan kematian pada November tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Shafina Azlin Shahidan, 46, dan Azman Awang, 47, mengangguk faham dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, mereka tertuduh secara bersama mengabaikan Azreen Naguin yang ketika itu berusia 14 tahun hingga menyebabkan remaja perempuan tersebut meninggal dunia akibat pneumonia.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kedua-kedua tertuduh antara pukul 9.30 malam hingga 10.45 malam, 2 November tahun lalu di Taman Alam Perdana, Binjai di sini.
Shafina Azlin dan Azman didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali.
Difahamkan, siasatan polis sewaktu menerima laporan kematian remaja perempuan berkenaan pada 2 November lalu mendapati kelahiran mangsa telah disembunyikan kedua-dua tertuduh sejak tahun 2009.
Kelahiran Azreen Naguin bukan sahaja tidak pernah didaftarkan, malah remaja itu tidak pernah mendapatkan suntikan imunisasi mahu mendapatkan rawatan di klinik dan hospital sepanjang hayatnya. – KOSMO! ONLINE