fbpx

Artis lama tebang lalang, sekarang kita boleh lalu – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Awie

PETALING JAYA — Deretan artis veteran dibayar syarikat produksi harga tidak setimpal, penyanyi dan pengarah, Datuk Awie menyifatkan perkara tersebut sebagai penghinaan.

Ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, kadar ditawarkan mestilah setara dengan pengalaman mereka sebagai artis senior atau berpengalaman.

“Kita perlu ada sedikit rasa hormat kepada artis yang lebih senior. Jadi, berilah jumlah selayaknya kerana merekalah artis yang mana ibu dan bapa kita pernah minat suatu ketika dahulu.

“Saya sedih dengan perbuatan itu (artis veteran dibayar sikit), bagi saya itu sangat biadab dan satu penghinaan kepada mereka.

“Apalah salahnya kita hormat orang lebih dewasa. Bayarlah lebih, tak apa, kita anggap itu sedekah atau amal ibadah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Enggan perkara sedemikian menjadi senario berjangkit, vokalis kumpulan Wings itu mencadangkan agar ukuran kadar bayaran selari dengan portfolio seseorang artis.

“Kita tengok juga, artis itu veteran yang bagaimana. Jika dia pernah popular pada zamannya dan menjadi watak utama, tentu sahaja dia ada nilai dan harga yang tertentu.

“Namun, jika selama ini hanya jadi watak pembantu sahaja, sudah tentu jumlahnya turut berbeza,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem Rebel, semalam.

Berpegang pada prinsip tiada lama tiada yang baharu, pelantun lagu Sejati itu memohon penghiat seni agar tunduk ke bumi dan mengenang kembali perjuangan artis senior suatu ketika dahulu.

“Orang lama sudah tebas semua lalang, agar kita orang baru boleh lalu. Ketika itu mereka hidup di zaman analog, tiada kamera canggih dan sangat sukar.

“Mereka bukan mahu naikkan nama mereka sahaja, tetapi juga nama industri. Contohnya seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menang pelbagai anugerah sehingga di Jepun.

“Maka, jangan semudah itu kita lupakan mereka,” jelasnya panjang lebar.

Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah klip video temu ramah pelakon dan pelawak veteran, Azlee yang kecewa menerima tawaran lakonan dengan bayaran RM500 sehari.

Video tersebut meledak sekali gus menjadi topik netizen sehingga ada yang menganggap artis veteran tidak wajar membuat permintaan bayaran yang tinggi. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI