JASIN – Melaka akan menuai hasil pertama benih padi sah pada Januari tahun hadapan, sekali gus dijangka menyumbang peningkatan tahap sara diri (SSL) padi negeri kepada 15 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek rintis itu telah dilaksanakan di Kampung Tengah Padang, Merlimau, dekat sini.
Katanya, proses perataan tanah sedang dilakukan selepas lokasi itu dikenal pasti sesuai oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Kawasan di situ telah dikenal pasti paling sesuai untuk tanaman benih padi menggunakan varieti MR297 selain mampu mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda.
“Kita positif ladang ini akan mengeluarkan hasil pada Januari tahun hadapan dan memberi peningkatan tahap sara diri (SSL) padi pada 2026 dari sembilan peratus kepada 15 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Dataran Orang Kampung di sini, lewat malam tadi.
Tambahnya, projek benih padi sah itu dijangka bermula pada musim tanaman padi baharu September depan melibatkan kawasan sawah padi seluas 42 hektar.
Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, usaha itu juga dilihat dapat menyelesaikan masalah pesawah di negeri ini yang berdepan kesukaran mendapatkan benih padi berkualiti.
“Ini juga dapat mengatasi isu pesawah yang tidak menerima benih padi berkualiti seperti sebelum ini dan kita guna benih padi MR297 selepas mengambil beberapa faktor antaranya kadar penggunaan air yang rendah dan pengeluaran hasil tinggi,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 37,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Merlimau itu yang bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE