ARAU – Seorang lelaki warga emas yang hilang sejak Rabu lalu ditemui mati berhampiran kereta miliknya di sebuah kebun getah di Felda Laka Temin, Bukit Kayu Hitam, Kedah pada petang tadi
Mayat Lim Boo Song, 80, ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari kereta jenis Proton Iswara pada pukul 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa dilaporkan hilang selepas anak perempuannya mendapati bapanya tiada di rumah di Rancangan Perumahan Awam Mata Ayer dekat sini pada pukul 9.30 pagi, Rabu lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati warga emas terbabit tidak dapat dihubungi sehari sebelum itu dan kali terakhir anaknya berjumpa mangsa adalah pada Isnin lalu.
“Kami menerima maklumat bahawa kereta mangsa ditemui di sebuah kebun getah di Felda Laka Temin kira-kira pukul 5.30 petang, Khamis lalu.
“Lanjutan itu, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan melibatkan polis, Unit Anjing Pengesan, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pada semalam dan hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Nanda, mayat mangsa kemudian ditemui pada jarak satu kilometer dari keretanya pada pukul 3.20 petang tadi.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan. – K! ONLINE