WASHINGTON – Seorang lelaki berusia 61 tahun di negeri Michigan menarik perhatian orang ramai kerana mengaku ingin melepasi usia 110 tahun dan mengamalkan pelbagai kaedah untuk hidup lebih lama termasuk mengambil ratusan vitamin.
Dave Pascoe menggelarkan dirinya ‘biohacker’ yang taksub kepada penambahbaikan badan menggunakan sains dan teknologi.
Pascoe berkongsi rahsia tampil awet muda termasuk dia mengamalkan program diet dan rejim senaman yang ketat.
Lelaki itu berkata, dia juga makan 158 vitamin setiap hari agar dapat hidup mencapai usia 110 tahun.
”Matlamat saya adalah untuk menjadikan kesihatan saya selari dengan jangka hayat saya. Saya berharap dapat hidup sekurang-kurangnya sehingga umur 95 tahun.
“Jika umur saya boleh pergi lebih jauh, saya mahu melepasi usia 110 tahun,” kata Pascoe.
Baginya, pelbagai jenis senaman merupakan bahagian penting dalam rutin harian termasuk berjalan kaki atau berjoging. Dia juga menghabiskan masa di sauna dan bermeditasi untuk berehat.
Menurut Pascoe, dia membelanjakan sekitar AS$30,000 (RM143,505) setahun untuk semua vitamin dan produk penjagaan kulitnya. – AGENSI