Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung di kawasan berhampiran bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mayat itu dipercayai berusia 78 tahun itu ditemui terapung kira-kira pukul 5.30 petang oleh orang awam sebelum menghubungi pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai nelayan.
“Mangsa dikatakan keluar menangkap ikan, sekitar pukul 5.30 pagi sehari sebelum kejadian dipercayai di kawasan Tanjung Lipat namun tidak pulang ke rumah selepas itu.
“Kehilangan mangsa hanya disedari ahli keluarga yang membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi sebelum penemuan mayat mangsa,” katanya.
Habibi berkata, mayat mangsa dikenal pasti oleh anak lelakinya berusia 36 tahun yang membuat pengecaman melalui gambar serta pakaian.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Jesselton Point menggunakan bot Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya.
“Seramai empat pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melakukan proses nyah kuman ke atas mangsa bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut. – K! ONLINE