PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang menghidap penyakit Biliary Atresia atau kerosakan pada hati sejak lahir hari ini.
Difahamkan, adik Nur Khayla dijadualkan menjalani pembedahan di China tidak lama lagi.
Anwar menerusi kenyataan Facebook berkata, sumbangan tersebut disampaikan Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi sebagai wakil bertemu Nur Khayla Azzahra yang berusia 20 bulan dan keluarganya pagi tadi.
Katanya, sumbangan tersebut adalah untuk membantu menampung kos perubatan dan perjalanan mereka ke China.
“Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut sampaikan sumbangan kepada Nur Khayla dan keluarga bagi menampung kos perubatan dan perjalanan mereka nanti.
“Sama-sama kita doakan agar Nur Khayla selamat jalani pembedahan dan segera sembuh, Insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE