LONDON – Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl berharap penyerangnya, Danny Ings akan menandatangani kontrak baharu dengan tawaran lumayan dalam usaha mengekalkannya untuk jangka panjang.
Ings, 28, dianggap antara watak penting The Saints sejak berhijrah secara tetap daripada Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu.
Bagaimanapun, Hasenhuttl mengakui, beliau tetap bersedia seandainya Ings mahu berhijrah menyertai pasukan yang lebih baik disebabkan statusnya pernah menyarung jersi kelab gergasi seperti The Reds.
“Ings sebelum ini sangat selesa bersama pasukan yang dianggap terbaik di England seperti Liverpool. Dia berhijrah kerana mahukan lebih banyak minit permainan dan dia juga sangat gembira bersama Southampton.
“Pihak pengurusan sudah menawarkan Ings dengan kontrak lanjutan baharu untuk tempoh lebih lama. Malah, kontrak diberikan kepadanya cukup lumayan kerana bakal menerima gaji mingguan paling tinggi di sini.
“Jika dia menolak, kami akan terus memandang ke depan kerana tiada pemain yang lebih besar statusnya berbanding pasukan. Kami masih ada beberapa pemain yang boleh menggantikan tempat Ings,” katanya.
Sebagai rekod, Southampton mempamerkan aksi memberangsangkan dalam kancah EPL musim ini apabila mengutip 20 mata daripada 11 perlawanan.
Southampton boleh melebarkan rekod itu jika menang ke atas Sheffield United di Stadium St. Mary malam ini. – AGENSI