DUNGUN – Program Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RMR 2.0) yang baru diperkenalkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada bulan Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan 200 permohonan telah diterima setakat ini.
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, program RMR 2.0 tersebut merupakan alternatif untuk mempercepatkan pemohon menerima rumah iaitu jaminan kelulusan pembinaan dalam tempoh tiga bulan.
“Berbeza dengan RMR 1.0 yang menawarkan pembiayaan rumah tanpa faedah serendah RM300 sebulan kepada pemohon, RMR 2.0 memberi pilihan kepada mereka yang berkemampuan membayarnya secara tunai sekaligus.
“Kelebihan program RMR 2.0 juga tidak memerlukan pemohon mencagar tanah mereka kepada SPNB selama 16 tahun sebagai jaminan pembiayaan perumahan,” katanya selepas menyerahkan kunci rumah tiga penerima RMR 1.0 di Kuala Paka di sini hari ini.
Husam berkata, inisiatif memperkenalkan program RMR 2.0 juga bagi mengatasi kelewatan rakyat memiliki rumah sendiri ekoran permohonan RMR 1.0 yang terlalu banyak.
Jelas beliau, setakat ini, SPNB telah menerima lebih 90,000 permohonan bagi program RMR 1.0 sedangkan keupayaan agensinya cuma mampu menyediakan kira-kira 3,500 rumah setahun.
“Ia menyebabkan pemohon RMR 1.0 untuk menunggu bertahun-tahun untuk kelulusan.
“Sehubungan itu, kita menawarkan tambahan 3,000 unit lagi RMR 2.0 pada harga sama iaitu RM75,000 dengan subsidi RM20,000 tetapi perlu dibayar tunai oleh pemohon,” katanya.
Husam berkata, syarat pemohonan RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama iaitu warganegara yang mempunyai tanah tetapi tidak memiliki rumah sendiri atau rumah asal uzur dengan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan. – KOSMO! ONLINE