fbpx

Malaysia bimbang, kecewa veto halang Palestin sebagai anggota penuh PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAJLIS Keselamatan menggundi resolusi keanggotaan Palestin dalam PBB di New York semalam. – AFP

PUTRAJAYA – Malaysia bimbang dan berasa amat kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada semalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan berkata, perkara berkenaan berlaku walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara-negara Anggota PBB terhadap Palestin.

“Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.

“Ini termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967,” katanya tadi.

Tambah KLN, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI