PETALING JAYA – Setahun selepas beraksi di Axiata Arena pada 2023, kumpulan ternama Westlife akan sekali lagi kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert Weslife The Hits Tour 2024 pada 9 Jun depan.
Bezanya, kali ini Westlife akan mengadakan persembahan di ketinggian sekitar 1,800 meter dari aras laut bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands.
Tidak seperti penampilan pada Februari tahun lalu, kumpulan asal Ireland itu juga hanya akan tampil bertiga tanpa Mark Feehily yang sedang berdepan masalah kesihatan.
Biarpun begitu, tiga lagi anggota Westlife, Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan tetap menjanjikan sebuah persembahan memukau dengan untaian hits kegilaan ramai.
Menyingkap penubuhan sejak 1998, Westlife melakar nama sebagai kumpulan lelaki yang menjadi perhatian seluruh dunia dengan lagu-lagu popular dan persembahan memukau.
Antara lagu dendangan Westlife yang menjadi siulan ramai dan masih diminati hingga kini termasuklah, Uptown Girl, My Love, Swear It Again, Flying Without Wings, World of Our Own dan Hello My Love.
Westlife juga berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album nombor satu, mengumpul lebih daripada tiga bilion aliran global, melepasi satu bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.
Mereka turut menerima pelbagai anugerah termasuk menerusi World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan menjulang empat kali dipilih menjulang trofi Record of the Year Awards untuk tahun 1999, 2000, 2003 dan 2005.
Tempahan awal tiket konsert anjuran MMIC Entertianment Group dengan kerjasama JS Concert Prouctions tersebut mula dibuka bermula 26 April ini.
Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM388 (PS4), RM588 (PS3), RM788 (PS2), RM988 (PS1) dan RM1,188 (VIP) menerusi mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com.-KOSMO! ONLINE