KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan pusat panggilan disyaki membekalkan sistem rekod dan mengira wang bagi penipuan dalam talian menumpukan kepada warga China.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bertindak maklumat risikan, serbuan telah dijalankan terhadap sebuah premis di Cheras, 10 April lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan dan penyiasatan terhadap barang kes mendapati sindiket telah beroperasi sejak Mac lalu.
“Mereka berfungsi sebagai pembekal sistem rekod dan mengira wang untuk penipuan dalam talian (penipuan tawaran pekerjaan) yang menumpukan kepada warga China.
“Sindiket berperanan sebagai pengaturcara dalam sistem pengurusan kewangan untuk sindiket penipuan dalam talian.
“Hanya perlu membayar RM1,000 sebulan untuk menggunakan sistem ditawarkan. Mereka juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan semua isu berkaitan dengan sistem,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu telah berjaya menjual sistem kepada lima pelanggan di China.
“Semua pembayaran dilakukan dalam USDT (mata wang kripto) dan akan disimpan dalam akaun e-dompet yang disediakan majikan mereka di China,” katanya.
Menurut Ramli, sebanyak lapan individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita dari China serta seorang wanita dari Vietnam berjaya ditahan.
“Juga dirampas empat laptop, dua monitor, 10 telefon bimbit, sebuah modem, sebuah router, dan wang tunai berjumlah RM3,122.
“Enam daripada lapan individu yang terlibat telah didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 16 April di bawah Seksyen 120(2) Kanun Keseksaan manakala dua individu yang lain telah dilepaskan tanpa syarat,” katanya.
Sementara itu, Ramli memaklumkan serbuan kedua pula berjaya menumpaskan sindiket pusat panggilan menawarkan perkhidmatan penyiaran penipuan kepada warga China di Taman Maluri Cheras, 12 April lalu.
“Siasatan lanjut mendapati bahawa sindiket ini menawarkan pakej penyiaran televisyen, drama dan filem palsu yang menumpukan kepada warga China,” ujarnya.
Jelas beliau, lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga lelaki China berusia antara 28 dan 33 tahun berjaya ditahan.
“Mereka berperanan sebagai penyelia dan pegawai perkhidmatan pelanggan di pusat panggilan.
Beliau menambah, dua daripada lima individu yang terlibat telah didakwa di mahkamah pada 16 April, di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan manakala tiga individu yang lain telah dijadikan saksi pendakwaan.-KOSMO! ONLINE.