KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lagi individu terbabit dalam kejadian kes samun terhadap mangsa lelaki warga asing di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, 7 April lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, individu berkenaan adalah suspek kelapan kejadian samun tersebut.
“Pihak polis sedang mengesan seorang individu dipercayai orang awam yang dapat membantu dalam siasatan kes samun ini.
“Tujuh individu yang ditahan reman termasuk lima pegawai polis sebelum ini sudah direman maksimum dan kini dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui wartawan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.
Menurut Rusdi, pihak polis juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan 27,000 baht (RM3,500) yang dipercayai disamun dari mangsa.
“Siasatan kini dalam peringkat untuk membuat keputusan sama ada boleh dituduh atau tidak,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tujuh suspek termasuk lima anggota polis ditahan berhubung kes samun jam tangan dan wang tunai kira-kira RM260,000 dan menyamar polis terhadap mangsa lelaki warga asing di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak.
Menurut Rusdi, tangkapan pertama dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju melibatkan tiga suspek lelaki pada pukul 11.50 malam, 7 April lalu.
Rusdi berkata, dalam siasatan kes tersebut, seramai lima anggota polis, seorang bekas anggota polis dan seorang orang awam berusia antara 28 hingga 41 tahun dipercayai terlibat.
Dalam pada itu, Rusdi hari ini menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh. – KOSMO! ONLINE