fbpx

[VIDEO] Ini satu pembaziran, tiada terkhilaf sebelum ini – Yasin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi prosiding rayuan keputusan lepas dan bebas terhadapnya sebelum ini. FOTO: SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan keputusan lepas dan bebas terhadap penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang dibuat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini, tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman menetapkan tarikh tersebut terhadap Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, selepas rayuan dibuat pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Pada prosiding tersebut, Azmi turut menanyakan sama ada Yasin akan melantik peguam atau tidak bagi prosiding rayuan keputusan tersebut nanti.

“Sekiranya ada peguam, boleh maklumkan kepada mahkamah seminggu sebelum tarikh sebutan semula kes.

“Jadi, hanya peguam sahaja hadir tanpa kehadiran anda (Yasin) bagi tarikh sebutan itu. Mahkamah juga akan serahkan rekod rayuan dan langkah seterusnya akan dimaklumkan kepada peguam pada tarikh itu,” katanya.

Bagaimanapun, Yasin memaklumkan bahawa perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

“Saya akan berbincang dengan ahli terdahulu bagi tujuan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Yasin ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, prosiding rayuan itu hanya satu pembaziran masa dan tenaga disebabkan semua telah diperjelaskan, diperkatakan dan dibuktikan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Dia bagaimanapun, akan mengikuti prosedur selepas pihak pendakwaan membawanya ke Mahkamah Tinggi.

“Masa buat perbicaraan itu hari, semua yang beri keterangan pun termasuk saksi-saksi adalah wakil kerajaan sama ada polis, Jabatan Kimia malah doktor merawat saya adalah hospital kerajaan iaitu Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Jadi, apa yang hendak saya cakapkan adalah tiada yang terkhilaf. Semua sudah pun beri keterangan yang sempurna. Mahkamah Tinggi nanti akan mendapati bahawa keputusan dibuat Mahkamah Sesyen adalah tepat, benar, tiada apa yang tertinggal dan terkhilaf,” katanya.

Sebelum ini, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pelantun lagi Mimpi Laila itu juga didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 29 November tahun lalu melaporkan Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan namun diarahkan oleh Mahkamah Sesyen agar penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI