PETALING JAYA – Pelakon Mia Sara Shauki menyifatkan sambutan hari raya tahun ini sangat istimewa meskipun kedua-dua ibu bapanya sudah bercerai.
Mia atau nama lengkapnya Mia Sara Shauki Afdlin Shauki, 25, berkata, perceraian tidak menghalang mereka sekeluarga meraikan Syawal di bawah satu bumbung.
“Kami okey sahaja beraya. Tiada perasaan tak seronok pun dalam rumah ketika itu dan semuanya sangat ‘happening’ (meriah).
“Tiada apa yang nak dirisaukan sepanjang beraya sebab kami satu rumah sangat selesa,” katanya kepada Kosmo! Online ketika sidang akhbar filem Geng Kubur semalam.
Berkongsi hubungan dengan ibu tiri iaitu Datin Marcella, Mia akui mereka sangat akrab memandangkan pernah bekerja bersama sebelum ini.
“Saya sudah rapat dengan dia (ibu baharu) dan apa-apa yang membuatkan ibu bapa saya gembira, saya terima.
“Siapalah saya nak cuba halang mereka. Saya cuma anak yang enggan tengok ibu bapa tidak gembira.
“Jadi, kalau bapa saya gembira bersama kawan saya (Marcella), saya tak halang kerana itu terbaik untuk mereka,” ujarnya lagi.
Menurut laporan media sebelum ini, Mia reda dengan suratan takdir apabila bapanya iaitu pengarah Datuk Adflin Shauki berkahwin lain walaupun agak sukar menerima kehidupan baharu tersebut.
Mia juga pernah menyatakan orang tuanya tidak membelakangi anak-anak dalam sebarang keputusan yang dibuat termasuk membabitkan hal perceraian.
Pada September 2023, Afdlin mengesahkan sudah berkahwin dengan wanita pilihan yang juga pengurusnya, sekali gus meleraikan spekulasi tentang status dudanya.
Sebelum ini, Afdlin dan bekas isterinya, Maria Christina Orow berpisah pada April 2022 selepas 25 tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan selama dua dekad, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mia, Anais dan Ileana Matin. – KOSMO! ONLINE