fbpx

Mihas julung kali dibawa ke Dubai bulan November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican (tengah) pada majlis prapelancaran Mihas 2024 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) mengorak langkah ke peringkat antarabangsa apabila julung kalinya bakal dilaksanakan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 18 hingga 20 November 2024.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya kini bersedia untuk membawa jenama Mihas lebih jauh ke seluruh dunia, seterusnya melebarkan potensi industri halal tempatan.

“Kami juga sedang memikirkan pelan pengembangan selepas Dubai.

“Tumpuan kami adalah untuk meneroka peluang memper­kenalkan Mihas kepada pasaran penting seperti China dan Eropah, sejajar dengan visi untuk memupuk perkongsian antarabangsa dan mempromosikan produk Malaysia kepada khala­yak yang lebih luas.

“Langkah ini diyakini akan membawa Mihas ke episod baharu untuk merekodkan tahap pencapaian yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung majlis prapelancaran Mihas 2024, yang disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini semalam.

Sementara itu, Mihas 2024 bakal diadakan di Pusat Pa­meran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 17 hingga 20 September ini, yang mengetengahkan sejumlah 2,000 gerai produk dan perkhidmatan halal dari 45 negara.

Menurut Reezal Mihas edisi ke-20 kali ini unik kerana memperkenalkan kluster baharu iaitu kandungan bahan halal.

“Selain pameran, terdapat Program Penyumberan Antarabangsa yang menjadi nadi Mihas dengan jangkaan penyertaan 500 pembeli antarabangsa.

“Ini termasuk 20 pembeli premium dalam mesyuarat perniagaan yang telah diatur sama ada secara maya atau fizikal dengan pengeksport Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI