KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan tidak menolak kemungkinan penganjuran beberapa siri himpunan motosikal jenis Yamaha RXZ mendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan model berkenaan dari negara jiran.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, model berkenaan kemudian akan diklon dan dijual lebih rendah berbanding harga pasaran.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan model motosikal itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negeri ini.
“Motosikal jenis RXZ kebiasaannya dijual kepada pembeli tempatan pada harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 sebuah. Purata harga yang ditawarkan lebih rendah dari pasaran.
“Sehubungan itu, orang ramai dingatkan supaya lebih berhati-hati untuk membeli kenderaan dan motosikal yang menawarkan harga yang jauh lebih murah,” katanya pada sidang akhbar di Unit Operasi Penguatkuasaan JKDM di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya berjaya merampas enam buah kereta klon dari Singapura dan buah motosikal berkuasa tinggi yang diseludup dari negara jiran.
Katanya, operasi yang dilakukan selama dua bulan bermula 15 Februari sehingga 15 April lalu itu bukan hanya tertumpu di negeri ini sahaja tetapi meliputi beberapa negeri lain.
Ujarnya, rampasan yang dilakukan itu termasuk di negeri Selangor, Johor Bharu, Kedah dan Kelantan dengan anggaran nilai dan cukai semasa berjumlah RM579,418.
“Kereta klon ini diseludup dari Singapura dan ia diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian I, Butiran 3(2), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Motosikal diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua kes tersebut sedang disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957. – KOSMO! ONLINE