ALOR SETAR – Satu mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam keadaan terapung di dalam sebuah longkang berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, di sini hari ini.
Mayat tersebut didapati lengkap berpakaian iaitu baju T warna coklat dan seluar panjang berwarna hitam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membantu polis mengangkat mayat itu pada pukul 11.51 pagi tadi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, satu mayat lelaki berusia lingkungan 40-an didapati terapung dalam longkang berair.
“Anggota bertindak mengangkat mayat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis,” katanya, di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE