KUALA LUMPUR – Tiada pembatalan pakej umrah bagi bulan Syawal dan haji kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, pada masa ini hampir 800 jemaah umrah di bawah syarikat tersebut berada di Mekah dan Madinah.
“Ketegangan di Asia Barat membuatkan orang ramai khuatir dan gusar untuk terbang mengerjakan umrah. Setakat ini Andalusia belum lagi ada pembatalan pakej.
“Sama seperti musim Covid-19 sebelum ini yang mana ramai masih mengerjakan umrah. Ibadah ini suatu tuntutan, jadi walaupun berlaku ketegangan atau ketakutan, ia tidak membataskan umat Islam mahu menunaikan umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman antara Andalusia dan Saudi Airlines, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pengendali umrah dan haji itu bergantung sepenuhnya kepada nasihat dan keputusan kerajaan bagi sebarang isu yang berlaku.
“Kita sangat bergantung nasihat dan keputusan kerajaan. Sebagai rakyat kita terima kebijaksanaan kerajaan. Jadi tak timbul keraguan dan kerisauan untuk menunaikan ibadah di tanah suci,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE