PETALING JAYA – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) membatalkan beberapa penerbangan dari dan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah dan Sarawak hari ini, berikutan letusan Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara.
Malaysia Airlines dalam kenyataan di laman X memaklumkan, penerbangan terbabit ialah MH7420 (Kuala Lumpur-Tawau), MH7421 (Tawau-Kuala Lumpur), MH2612 (Kuala Lumpur-Kota Kinabalu), MH2621 (Kota Kinabalu-Kuala Lumpur), MH2710 (Kuala Lumpur-Sandakan), MH2711 (Sandakan-Kuala Lumpur).
Selain itu, MH2610 (Kuala Lumpur-Kota Kinabalu), MH2611 (Kota Kinabalu-Kuala Lumpur), MH7404 (Kuala Lumpur-Kota Kinabalu), MH7405 (Kota Kinabalu-Kuala Lumpur), MH2613 (Kota Kinabalu-Kuala Lumpur).
Turut terkesan penerbangan dari dan menuju ke Sarawak iaitu MH2520 (Kuala Lumpur-Kuching), MH2513 (Kuching-Kuala Lumpur), MH2542 (Kuala Lumpur-Kuching), MH2543 (Kuching-Kuala Lumpur), MH2574 (Kuala Lumpur-Miri), MH2575 (Miri-Kuala Lumpur), MH2742 (Kuala Lumpur-Bintulu) dan MH2473 (Bintulu-Kuala Lumpur).
Bagaimanapun, Malaysia Airlines berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Perkembangan terkini berhubung pembatalan penerbangan akan dilakukan di sini (media sosial) dan dilakukan secara terus kepada pelanggan yang terlibat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, syarikat penerbangan itu akan menawarkan penerbangan alternatif kepada pelanggan yang terkesan apabila keadaan bertambah baik.
Malaysia Airlines juga mengingatkan para penumpang untuk mengemas kini maklumat menerusi My Booking pada laman sesawang Malaysia Airlines bagi menerima maklumat terkini yang akan dihantar melalui e-mel dan SMS.
Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami selepas sebuah gunung berapi di wilayah Sulawesi Utara meletus dan menghamburkan abu setinggi lebih 1 kilometer ke udara dalam bencana yang memaksa beratus-ratus penduduk berpindah.
Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Ruang meletus buat kali pertama pukul 9.45 malam (waktu tempatan) kelmarin disusuli empat letusan lain semalam. – KOSMO! ONLINE