PASUKAN Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) perlu bekerja lebih keras bagi mendapatkan kembali kecergasan pemain dalam baki tempoh empat minggu sebelum menghadapi Kelantan dalam saingan Liga Premier yang akan bermula 22 Ogos depan.
Ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin berkata, beliau terpaksa mengubah corak latihan pasukan daripada biasa dan semua pemain memahami keadaan itu perlu dilakukan demi memastikan mereka bersedia beraksi secara kompetitif.
Malah, Sulaiman berharap barisan pemain mampu berada di tahap kecergasan fizikal yang diperlukan kerana tumpuannya pada awal bulan depan adalah pembentukan keserasian semula pemain dan taktikal melalui aksi persahabatan.
“Saya akui ada sebilangan pemain pasti berdepan masalah kelesuan dan kecederaan ekoran masa yang terlalu singkat.
“Namun, saya terpaksa mengubah program dengan berikan tumpuan kepada program intensiti tinggi namun saya akan seimbangkan dengan waktu rehat yang bersesuaian sebelum bersambung berlatih kembali.
“Kita hanya ada empat minggu dan pemain perlu bekerja keras dalam tempoh satu ke dua minggu ini sebab selepas ini kami sudah tidak masa nak beri tumpuan kepada kecergasan atau fizikal.
“Selepas kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos, saya harap dapat mengatur dua ke tiga perlawanan persahabatan agar kami mampu bersedia untuk hadapi Kelantan,” katanya.
Pasukan UKM FC menduduki tangga kelapan Liga Premier ketika ini selepas mengutip empat mata dalam empat aksi dengan hanya merekodkan satu kemenangan ketika bertemu Kuching FA. – K! ONLINE