PETALING JAYA – Pengarah muzik ternama, Jennifer Thompson yakin bahawa penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai individu tepat untuk diberikan gelaran Biduanita Negara selepas Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Katanya, selain penyanyi nombor satu negara itu, ada beberapa calon lain dia layak menggalas gelaran sama termasuk Ziana Zain dan Jaclyn Victor.
“Sekarang tengah hangat isu siapa Biduanita seterusnya. Saya rasa semua yang dalam ini (siaran langsung) tahu jawapannya.
“Yang paling layak untuk gelaran tersebut adalah Siti Nurhaliza.
“Kita ada yang lain juga seperti Ziana Zain, Jaclyn Victor dan ramai lagi yang hebat tetapi bila bercakap mengenai biduanita, sememangnya satu gelaran berat,” katanya menerusi siaran langsung TikTok, baru-baru ini.
Bekas isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS itu turut memuji kemerduan suara Siti yang mempunyai keunikan lenggok tersendiri.
“Senjata rahsia Siti Nurhaliza sudah pasti dia punya lenggok dan perkara tersebut dapat daripada keluarganya ketika membesar.
“Mungkin ibunya pandai bergurindam sebab lenggok Siti tiada siapa boleh lawan. Tiada yang boleh tandingi lenggokan dia,” ujarnya lagi.
Sebelum ini kecoh mengenai siapa yang layak diberikan gelaran Biduanita Negara ketiga selepas kejayaan penyanyi Cindai itu mementaskan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan lalu
Rentetan itu, ada ciapan dilayangkan dalam aplikasi X meminta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga peminat Siti, membantu menunaikan hasrat peminat.
Gelaran Biduanita Negara sebelum ini diberikan kepada Allahyarham Saloma dan Datuk Sharifah Aini. – KOSMO! ONLINE