fbpx

Hati-hati beli ternakan luar biasa murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh mengenai tawaran atau promosi ternakan yang berharga luar biasa murah dari pasaran.

DVS dalam kenyataan berkata, perkara itu kerana dikhuatiri ternakan yang dibekalkan itu tidak melalui pemeriksaan kesihatan veterinar yang diperlukan bagi sebarang pemindan dan penyembelihan ternakan.

“DVS mengambil perhatian peningkatan jualan kambing dengan harga luar biasa murah kerana dikhuatiri bekalan diperolehi daripada punca yang tidak dapat dikenal pasti status kesihatan ternakan berkenaan.

“Bagi ternakan yang dibawa masuk dari luar negara, proses kuarantin adalah diwajibkan bertujuan memastikan ternakan berkenaan benar-benar sihat,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, ternakan yang tidak melalui proses kuarantin dan tidak diketahui status kesihatannya dikhuatiri boleh membawa pelbagai penyakit ternakan dan lebih membimbangkan penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia.

“Penyakit zoonotik boleh merebak kepada manusia melalui kontak secara langsung dan tidak langsung dengan haiwan dijangkiti, pengambilan makanan dan melalui vektor (seperti kutu, nyamuk dan lain-lain).

“Antara penyakit zoonotik yang boleh tersebar melalui haiwan ternakan adalah
anthrax, brucellosis, leptospirosis dan chlamydiosis,” ujarnya.

Katanya, pembeli ternakan berkemungkinan besar mempunyai risiko djangkiti penyakit-penyakit zoonotik seperti yang dinyatakan jika ternakan yang dibeli tidak diketahui status kesihatan.

“Risiko penyebaran penyakit kepada ternakan sedia ada semakin tinggi jika pembelian berkenaan bertujuan untuk diternak.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kerugian akibat kematian yang tinggi, kos pengurusan kawalan penyakit yang meningkat, sekaligus menggugat industri ternakan negara,” tambahnya.

Susulan itu katanya, bagi menangani isu tersebut DVS telah menubuhkan task force dengan tujuan untuk mengesan ladang-ladang yang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan yang tidak diketahui punca bekalan.

” Ladang-ladang yang dikenal pasti ini akan dibuat pemantauan secara proaktif oleh DVS dari sudut tahap kesihatan ternakan ladang.

“Jika ada ternakan ladang tersebut diuji positif sebagai pembawa penyakit, ia akan dikuarantin dan tindakan kawalan penyakit akan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, DVS mengingatkan bahawa selaku pembeli, boleh meminta penjual menunjukkan permit pemindahan ternakan dan sijil kesihatan serta mengenal pasti tag ternakan atau apa-apa tanda pengenalan untuk kepastian ternakan telah diperiksa oleh DVS. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI