fbpx

Ahmad Zahid sahkan lihat perintah tahanan rumah Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (kiri) dan Najib.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.

Sehubungan itu beliau menyokong Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah melalui satu afidavit sokongan yang difailkan pada 9 April lalu.

Afidavit itu bagi menyokong semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib berhubung titah tersebut.

Semakan di sistem pemfailan mahkamah serta pegawai mahkamah mengesahkan afidavit tersebut masih boleh diakses dan tiada perintah sekatan.

Berdasarkan afidavit tersebut, Ahmad Zahid memberitahu beliau telah dikunjungi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Pada pertemuan tersebut, Tengku Zafrul telah menunjukkan titah tersebut yang berada di dalam telefonnya yang mendakwa telah mengimbas daripada salinan asal titah adendum itu.

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada ‘tahanan rumah’ dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

“Saya juga melihat bahawa Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai meterai dan tandatangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” kata Ahmad Zahid dalam afidavit sokongan itu.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada “tahanan di rumah” dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima `maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.

Menurut afidavit Ahmad Zahid, beliau juga percaya bahawa selain dirinya dan Tengku Zafrul, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan titah adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu masih belum dilaksanakan.

“Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Peguam Negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan Titah Adendum untuk pertimbangan undang-undang beliau,”ujar Ahmad Zahid.

Menurut penyataan yang difailkan, pada 1 September 2022, Najib melalui peguamnya memfailkan petisyen memohon pengampunan penuh terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, YDPA mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Ahmad Zahid bagi memohon pengesahan berhubung titah adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan titah adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI