fbpx

HeiTech Padu tawar harga terbaik perkhidmatan Mysikap, Mainframe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika sidang akhbar berhubung penjelasan tawaran kontrak penyelenggaraan mySikap dan Mainframe kepada HeiTech Padu Berhad di kementeriannya hari ini. FOTO FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memperakukan syarikat HeiTech Padu Berhad bagi kontrak penggabungan perkhidmatan dalam talian, MySikap serta Perkakasan dan Perisian Sistem Kerangka Utama (Mainframe) untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelulusan Perbendaharaan telah diperoleh pada 8 Februari lalu untuk nilai sebanyak RM185 juta (tidak termasuk cukai perkhidmatan).

Menurut beliau, Lembaga Perolehan MOT bersidang pada 24 November 2023 dan memperakukan syarikat berkenaan sebagai tawaran terbaik berdasarkan harga yang munasabah dan terendah yang melepasi kesemua peringkat penilaian sebelum dikemukakan untuk kelulusan muktamad Kementerian Kewangan pada 4 Disember 2023.

“MOT melaksanakan tender terbuka bagi penggabungan kedua-dua perkhidmatan tersebut pada 21 Jun 2023. Tiga syarikat telah mengambil bahagian dalam sistem tender terbuka tersebut. Ketiga-tiga syarikat lulus dalam syarat teknikal dan kewangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Anthony Loke, penjelasan ini dibuat kerana ada pihak mempersoalkan isu tender kepada syarikat HeiTech Padu kononnya projek ini ditawarkan disebabkan ada seorang pengarah atau pemilik saham syarikat tersebut ada hubung kait dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, isu tersebut dibawa ke perhatian Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi berhubung kaitan kontrak itu dengan bekas setiausaha politik kepada Anwar, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Anthony Loke kemudiannya menjelaskan, tawaran harga (tidak termasuk cukai perkhidmatan) daripada ketiga-tiga syarikat pembida ialah syarikat pertama (RM185,076,900), syarikat kedua (RM186,885,611.64) dan syarikat ketiga RM199,513,872.

Katanya, anggaran harga siling bagi projek ini adalah RM207,315,469.

MySikap merupakan sistem informasi kenderaan dan pemandu merangkumi perkhidmatan atas talian pendaftaran kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor dengan sebanyak 1,300 jenis urus niaga, manakala Mainframe adalah perkakasan server yang menyimpan data-data MySikap.

Tambah beliau, kontrak MySikap dan Mainframe sebelum ini dibuat secara berasingan dan rundingan terus pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pada Mac 2023, JPJ mencadangkan penggabungan kedua-dua komponen tersebut kepada satu tender supaya permudahkan pengurusan aspek kawalan, pemantauan dan pengurusan projek secara koletif oleh satu syarikat yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI