KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan menyembunyikan titah adendum yang mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Ini kerana terdapat individu yang melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhammad Shafee memberitahu, pihaknya telah memfailkan afidavit sokongan daripada seorang individu yang melihat dan membaca titah tersebut.
“Kami telah memfailkan afidavit (sokongan), tetapi saya tidak boleh namakan afidavit daripada siapa, tetapi beliau telah sahkan lihat, baca (titah adendum). (Ada) tandatangan Agong, ada cop mohor Agong,” katanya.
Terdahulu, media dilarang membuat liputan mengenai permohonan semakan kehakiman itu selepas peguam terbabit memaklumkan terdapat ‘isu sensitif’.
Pada mulanya media dibenarkan mengikuti prosiding tersebut melalui siaran terus ke bilik ‘videolink’.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan permohonan tersebut.
Permohonan itu sepatutnya didengar pada 4 April lalu namun ditangguhkan ke hari ini selepas Muhammad Shafee memaklumkan terdapat seorang individu yang disifatkan sebagai `saksi kritikal’ akan menyokong permohonan Najib berhubung titah adendum oleh YDPA ke-16.
Ujar peguam itu, afidavit sokongan saksi yang tidak didedahkan identitinya itu hanya boleh ditandatangani lepas individu terbabit pulang dari Mekah.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada “tahanan di rumah” dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Menurut penyataan yang difailkan pada 1 September 2022, Najib melalui peguamnya memfailkan petisyen memohon pengampunan penuh terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.
Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, YDPA mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.
Pada 14 Februari, Najib telah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon pengesahan berhubung titah adendum tersebut.
Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.
Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan titah adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE