fbpx

Hujan lebat, banjir di Semenanjung kerana fasa peralihan monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Hujan lebat dan ribut petir yang melanda kebanyakan kawasan di Semenanjung ketika ini bukan satu perkara luar biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu berlaku berikutan negara kini sedang berada dalam fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku hingga Mei depan.

Beliau berkata, semasa fasa peralihan monsun rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir terutama di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak

“Lazimnya keadaan itu membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Katanya, dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan di semenanjung dilaporkan mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan.

Antara kawasan yang mengalami banjir kilat ketika ini ialah di Selangor dan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI