JASIN – Penduduk di Pantai Siring dekat sini gempar apabila sekumpulan nelayan berjaya menangkap seekor buaya tembaga seberat lebih 500 kilogram (kg), pagi tadi.
Beberapa klip video berkaitan kejadian turut tular di media sosial memaparkan sang bedal itu ditambat menggunakan tali di pesisir pantai dipercayai bagi menunggu tindakan lanjut daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Turut hadir di lokasi adalah sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau bagi memberikan bantuan awal.
Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan II, Mohd. Suffian Abu Bakar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.06 tengah hari tadi.
“Jentera sampai pada pukul 12.17 tengah hari dan mendapati seekor buaya tembaga sepanjang lima meter telah berjaya ditangkap oleh nelayan di kawasan itu.
“Pasukan bomba telah berhubung dengan Perhilitan berkaitan penangkapan tersebut dan kami sedang berbincang mengenai pengangkutan bagi membawa haiwan tersebut ke pusat konservasi,” katanya.
Terdahulu, salah satu klip tular video berdurasi 25 saat turut memaparkan beberapa penduduk kampung dilihat datang ke lokasi semata-mata bagi merakamkan gambar bersama haiwan pemangsa itu. – KOSMO! ONLINE