fbpx

Ahmad Faizal mengaku tenang setelah lepaskan jawatan MB Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal (kanan) dan Rumaizi (tengah) pada program Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang di Padang Housing Trust, Ipoh hari ini.

IPOH – “Sekarang saya rasa lebih relaks dan tenang setelah melepaskan jawatan,” kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sambil mengakui bukan tugas mudah apabila dilantik memikul tanggungjawab tersebut sepanjang 31 bulan lalu.

Jelas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau turut yakin Menteri Besar yang baharu dilantik, Datuk Saarani Mohamad dapat melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman selama empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, Saarani juga mempunyai barisan pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional lalu untuk membantunya mentadbir kerajaan negeri dengan cekap.

Ahmad Faizal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak pada Sabtu minggu lalu selepas hilang majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kini, beliau hanya menumpukan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang.

“Saya nafikan berita kononnya bakal ditawarkan jawatan lain pada peringkat kerajaan pusat. Saya okey sahaja jadi wakil rakyat biasa. Apa yang ada pun dah cukup buat saya.

“Saya pun dah serah kenderaan rasmi. Sekarang saya pandu kereta sendiri,” ujarnya kepada pemberita semasa mengiringi isterinya, Datin Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang juga Pengerusi Perak Food Bank ketika hadir pada Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang di Padang Housing Trust di sini.

Program berkenaan anjuran Kelab Lion Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh dan turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin.

Semasa ditanya berhubung cadangan nama ADUN Bersatu sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak, kata Ahmad Faizal, beberapa nama telah pun dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.

“Kita pun dah bincang dengan MB dan percaya nama-nama ini akan dipersembahkan kepada Sultan Perak.

“ADUN Bersatu pun bukan ramai dan saya yakin mereka dipilih sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak. Tapi saya tidak termasuk dalam senarai tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI