PETALING JAYA – Beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang dan Selangor dilaporkan mengalami cuaca buruk sejak awal petang tadi dan boleh berlarutan sehingga lewat malam hari ini.
Menerusi laporan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Kedah (Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Lipis), Selangor (Hulu Langat dan Sepang) serta seluruh Wilayah Persekutua Putrajaya.
Selain itu, turut terkesan dengan cuaca buruk pada malam ini adalah Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, seluruh Melaka dan juga Johor (Tangkak, Muar, Mersing dan Kota Tinggi).
“Di Sarawak melibatkan kawasan Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong) dan Sibu,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE