fbpx

Ubi kayu kembung perut, padi huma sedap – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) di kawasan penanaman padi huma di Kampung Chepir, Sik hari ini.

SIK – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyarankan orang ramai supaya menanam padi huma berbanding ubi kayu dalam usaha menambah bekalan beras negara.

Menurut beliau, memakan nasi daripada padi huma lebih sedap dan mengenyangkan, berbanding ubi kayu yang boleh mengundang masalah angin.

“Daripada tanam ubi kayu, baik tanam padi. Ubi kayu ini buat kembung perut sebab angin, padi huma sedap dan kejap perut (mengenyangkan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan benih padi huma di Kampung Radik, Chepir di sini hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan rakyat negara ini supaya tidak terus bergantung dengan nasi sebagai sumber karbohidrat sebaliknya menggantikannya dengan sumber lain seperti ubi kayu.

Jeas beliau, langkah tersebut dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, daerah Sik disasarkan menjadi hub padi huma atau padi bukit dengan proses penanaman turut diusahakan golongan asnaf fakir miskin di kawasan tersebut.

Katanya, projek perintis penanaman padi huma akan dibuat di kawasan seluas enam hektar di Kampung Chepir seawal Jun ini melibatkan tiga peserta dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

“Padi huma ini ditanam di kawasan tanah darat tanpa genangan air yang mana proses penanaman dilakukan secara tradisional,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan penanaman varieti benih padi Tok Ya memandangkan ia dilihat lebih sesuai dan mudah untuk dikomersialkan.

“Ia berdasarkan tempoh penanamannya yang lebih singkat iaitu tempoh tuaian 100 hari di samping hasilnya yang berat serta memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan eksperimen yang dilakukan di tapak percubaan, sebanyak sekilogram varieti benih padi Tok Ya mampu memberi pulangan hasil sehingga 80 kilogram (kg) padi ketika waktu tuaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI