LONDON – Penyerang Chelsea, Cole Palmer sekali lagi mencuri tumpuan buat kelab itu apabila empat golnya membantu skuad bimbingan Mauricio Pochettino berkenaan berpesta gol membelasah Everton 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Biarpun ini baru musim pertamanya di Stamford Bridge, tetapi bintang muda berusia 21 tahun itu sudah disebut-sebut mampu menyamai legenda-legenda yang pernah menyarung jersi The Blues seperti Eden Hazard, Gianfranco Zola dan Frank Lampard.
Produk akademi Manchester City hanya mengambil masa 16 minit untuk merakam hatrik keduanya musim ini sebelum melengkapkan jaringan keempatnya di babak kedua, sekali gus berkongsi status penjaring terbanyak EPL ketika ini dengan bintang Manchester City, Erling Haaland menerusi 20 gol.
Pelaburan Chelsea membelinya dari City dengan harga £40 juta (RM238.55 juta) pada September lalu ternyata berbaloi apabila dia turut melonjak ke tangga teratas dalam kategori sumbangan gol sebanyak 29 kali.
Palmer kini merupakan pemain ketiga Chelsea dengan jumlah jaringan terbanyak dalam kempen EPL di belakang Didier Drogba yang meledak 29 gol pada musim 2009/10 dan Jimmy Floyd Hasselbaink, 23 gol musim 2000/01 serta 2001/02. – KOSMO! ONLINE