SIK – Kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing di Johor dikhuatiri boleh menjejaskan kebolehupayaan Gerup Gerak Khas (GGK) untuk menjalani latihan bagi meningkatkan kecekapan anggota dan pegawai.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya berharap projek itu dapat dimuktamadkan segera kerana keperluan kolam tersebut amat kritikal kepada GGK.
Kata beliau, kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu telah melebihi 647 hari walaupun proses menyiapkan kemudahan berkenaan hanya berbaki tiga peratus sahaja lagi untuk dilengkapkan.
“Pertama sekali Tentera Darat menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap projek tersebut.
“Sebagai pengguna memang kita sentiasa pantau dan perkara ini juga dibangkit pada setiap kali mesyuarat jawatan kuasa pembangunan Tentera Darat yang diadakan setiap bulan dan dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat.
“Kita ingin tahu perkembangan projek itu kerana wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) juga hadir ke mesyuarat itu untuk memberi penjelasan, namun itulah jawapannya yang diberikan kepada kita,” katanya ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama anggota bertugas di Kem Gubir, di sini hari ini.
Pada semalam, Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan GGK menitahkan JKR Johor dan Jurutera Daerah Mersing menjelaskan kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, JKR diharapkan dapat membantu Tentera Darat untuk menyiapkan segera projek itu untuk digunakan GGK secepat mungkin.
Menurutnya, kali terakhir pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan kolam itu memohon lanjutan masa adalah pada 14 April lalu selain lima kali dilakukan sebelum ini.
“Projek tersebut di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dan agensi pelaksana adalah JKR. Saya juga difahamkan sub-kontraktor juga telah dilantik namun mereka turut gagal dan menarik diri daripada menyelamatkan projek tersebut.
“Kita tidak boleh bertindak lebih daripada itu kerana di luar bidang kuasa Tentera Darat melainkan hanya membuat aduan dan sebagainya agar kemudahan ini diberi perhatian serius,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penghantaran pertama helikopter Black Hawk yang sepatutnya diterima Tentera Darat pada April, beliau berkata, pihaknya masih memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini sebelum tindakan susulan dibuat.
“Kita dijanjikan oleh kontraktor untuk menghantar Black Hawk pertama dalam kontrak sewaan menjelang April dan kini sudah pertengahan April, malangnya sehingga kini belum menerima apa-apa perkhabaran.
“Kita amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana tempoh hantar sudah lama berlalu iaitu November lalu. Kini sudah lebih lima bulan, kita masih bagi peluang sampai hujung April dan jika belum ada perkembangan kita akan buat tindakan susulan melalui kementerian selaku pengurus kontrak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE