YAN – Seorang penduduk menemui bangkai seekor ikan lumba-lumba yang pada awalnya disangka akar pokok terdampar di pantai Kampung Kuala Ruat, di sini semalam.
Menurut Ku Ridzuan Ku Hamid, 33, ketika itu dia sedang membantu melayan pelanggan yang datang ke kedai runcit milik keluarga mentuanya yang terletak berhadapan pantai di kampung itu.
“Pada kira-kira pukul 4.45 petang semalam, saya memandang ke arah pantai dan terlihat satu objek seperti akar pokok besar terdampar di situ tetapi saya curiga dengan bentuknya.
“Jadi disebabkan ingin tahu objek apa yang berada di pantai itu, saya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira empat meter dari rumah dan terkejut apabila mendapati ia bangkai seekor ikan lumba-lumba,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia memeriksa bangkai itu dan mendapati bahagian mulut ikan tersebut berdarah sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pegawai APM Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan bangkai itu pada pukul 5.05 petang, semalam dan menggerakkan seramai enam petugas ke lokasi.
“Sebaik sampai kita dapati ikan lumba-lumba yang belum diketahui jenisnya itu seberat kira-kira 220 kilogram dan panjang 1.8 meter. Terdapat kesan darah di bahagian mulutnya dipercayai terkena kipas bot nelayan.
“Kami kemudian menghubungi Jabatan Perikanan Kedah bagi memaklumkan penemuan itu dan dengan kebenaran pihak terlibat bangkai ikan itu kemudiannya dialih untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Tambahnya, penemuan bangkai berkenaan merupakan kes pertama membabitkan bangkai ikan lumba-lumba di perairan Yan. – KOSMO! ONLINE
-habis
Caption:
Bangkai ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di pantai Kampung Kuala Ruat, Yan pada semalam.